Sunday, July 12

Masjid Cina simbolik 1 Malaysia

Keputusan Perdana Menteri membenarkan masjid seni bina berciri masyarakat Tionghua jelas menyerlahkan sifat keterbukaan Islam sebagai sebuah agama universal.





MUSTAPHA MA






MOHAMAD RIDHUAN TEE


MALAM Rabu lalu, suasana Masjid Al-Muhsinin, Taman Desa di ibu negara seumpama sebuah kejiranan Cina Muslim di Beijing. Sebahagian besar hadirin berkulit kuning langsat dan bermata sepet namun mereka berbual dalam bahasa Malaysia.

Aktiviti bertambah menarik dengan kehadiran 30 orang imam muda dari China yang dijemput khas. Mereka mempersembahkan wusyu, taichi, tulisan khat ala kaligrafi Cina dengan buluh dan demonstrasi mi tarik yang menggunakan tangan.

Biarpun majlis kesyukuran dan ramah mesra bersama komuniti Cina Muslim tempatan anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) itu serba ringkas tanpa publisiti meluas, ia memberi maksud besar terhadap perkembangan Islam di negara ini.

Pada majlis itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin membuat satu pengumuman penting yang tidak diduga. Kerajaan membenarkan masjid Cina dibina di ibu kota tidak lama lagi.

Berita gembira itu mendapat reaksi positif Pengerusi Macma, Datuk Dr. Mustapha Ma yang sekian lama memperjuangkan pembinaan sebuah masjid Cina di Kuala Lumpur. Impian itu bakal menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

"Atas semangat gagasan 1Malaysia yang menekankan konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju meluluskan sebidang tanah kepada Macma untuk masjid ini," kata Raja Nong Chik.

Hakikatnya, isu masjid Cina bukan sekadar matlamat persatuan itu yang mewakili 70,000 orang Islam Cina di negara ini. Bagi mereka, dakwah untuk menarik ramai masyarakat Cina mendekati Islam tidak memerlukan pembinaan masjid khas.

"Kaum Cina masih ada persepsi kononnya masuk Islam itu kena masuk Melayu dan Islam cuma untuk orang Melayu, maka kita perlu ubah strategi dakwah bahawa Islam itu universal melalui konsep masjid Cina," kata Mohamad Ridhuan Tee Abdullah.

Aktivis dakwah itu bagaimanapun menafikan pembinaan masjid Cina boleh memecah belahkan perpaduan. Sambil mengambil contoh banyak masjid India di negara ini, kita tidak pernah mempersoalkan isu itu sebagai isu kaum tertentu.

Masjid Cina untuk semua kaum

Hakikatnya, sekadar perbandingan umat Islam di China sendiri jauh lebih ramai daripada jumlah penduduk Malaysia. Malah di Beijing, bilangan penganut Islam di ibu kota itu mengatasi angka keseluruhan umat Islam di Malaysia.

Untuk rekod, ada lebih 45,000 buah masjid di seluruh China sejak negara Komunis itu melaksanakan dasar pintu terbuka kepada ekonomi pasaran bebas tiga dekad lalu. Masjid tertua di China bahkan lebih awal daripada sejarah pembukaan Melaka.

"Malangnya ada segelintir orang Melayu sendiri memiliki tanggapan kurang tepat kononnya Melayu sahaja Islam walaupun adakala Cina Islam itu 'lebih Islam' daripada Melayu," ujar tokoh agama, Prof. Dr. Mohamad Asri Zainul Abidin.

Beliau yang pernah menyatakan sokongan terbuka kepada isu masjid Cina beberapa tahun lalu menambah, situasi sedemikian masih berterusan. Ada Cina Muslim ditegur kerana menyambut Tahun Baru Cina walhal ia bukan pun suatu perayaan agama.

Tidak kurang hanya memandang nama sebagai bukti agama sehingga menyebabkan ramai bukan Melayu kurang berminat memeluk Islam. Mereka terpaksa menukar nama asal kepada nama berunsur Arab padahal ia bukan wajib menurut syarak.

"Saya sendiri pernah ada pengalaman beberapa tahun setelah menjadi Muslim, kebetulan bapa meninggal dunia. Ramai kawan melarang saya menziarahi mayat bapa kerana bimbang saya kembali kepada agama lama," imbau Mohamad Riduan Tee.

Justeru, menyedari persepsi salah itu, beliau yakin pembinaan masjid Cina bakal membetulkan balik tanggapan serong bahawa Islam itu sebenarnya untuk semua kaum. Malah masjid Cina diharap menjalankan aktiviti tidak terhad kepada kaum Cina.

Seperti dinyatakan Raja Nong Chik, pembinaan masjid Cina pertama di Lembah Klang itu dapat menyemarak perpaduan. Ia juga menjadi bukti kepada orang luar bagaimana kehidupan harmoni masyarakat Malaysia utuh tanpa mengira kaum - Kosmo


*p/s : alhamdulillah... akhirnya*

4 comments:

pricon said...

Alhamdilillah... thanks for sharing.

lidey lim said...

bu ya0 ke chi ;")

pricon said...

u speak mandarin? :)
1st comment should be "Alhamdulillah"... type cepat sgt ada typo error la pulak hehe.

lidey lim said...

hihi... its okay ;") musti sebap semangat sangat nk type sampai tersalah type... ;D
mandarin... xpandai sangat tapi tau lah jugak... sebap sy tinggal di perkampungan melayu s0 bila adik beradik balik kampung saja berpeluang utk praktis cakap... hihi