Showing posts with label j0m s0lat. Show all posts
Showing posts with label j0m s0lat. Show all posts

Wednesday, February 3

j0m s0lat (part 5)

Kaitannya Rukun Islam
Apabila menyebut tentang rukun yang lima itu, bertepatanlah dengan isu yang kita bincangkan kali ini. Oleh itu, ingin sekali saya memetik salah satu darinya iaitu rukun yang kedua, iaitu solat lima waktu. Jika kita lihat, seperti yang saya katakan tadi, rukun Islam adalah tatacara yang paling asas dalam Islam untuk diikuti. Malah kanak-kanak yang masih kecil lagi sudah mampu menghafalnya kerana sering kali diperdengarkan dengan rukun yang lima ini samada di rumah ataupun di tadika. Ini bermakna rukun Islam amat mudah diikuti dan diingati oleh sesiapa sahaja.

Oleh itu, kewajipan solat lima waktu itu seharusnya telah tertanam dalam diri masing-masing secara sedar atau tidak. Namun yang membezakannya hanyalah samada menunaikannya ataupun tidak. Bagaimana masih ada lagi umat manusia yang mengaku keimanan mereka tapi tidak melaksanakan apa yang sepatutnya? Jika kita lihat susunan rukun Islam itu sendiri pun kita sudah dapat mengetahui akan tujuannya.
Ucapan kalimah syahadah yang diucapkan adalah dilahirkan dari hati yang benar-benar mengakui kebesaran dan keesaaan-Nya, bagi membuktikan ketaatan dan tanda kesungguhan dan seterusnya membuktikan keislaman seseorang. Sesudah kita mengakui mestilah kita perlu membuktikannya. Adakah benar hanya Allah yang kita sembah dan adakah benar kita mengakui Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah atau ia hanya kata-kata semata-mata tanpa lahir dari hati? Di sinilah pentingnya solat untuk dikerjakan setelah ikrar syahadah dilafazkan. Malah bagi mereka yang baru memeluk Islam sekalipun (mualaf), perkara pertama yang akan diajar selepas syahadah adalah cara-cara menunaikan solat.
Solat boleh dikatakan sebagai bukti kesungguhan kita mengotakan janji dan segala ikrar yang pernah dilafazkan kerana dalam solat itu terkandung segala kata-kata pujian pada Allah S.W.T dan junjungan kita Rasulullah S.A.W. Ini dapat dibuktikan dengan sebuah hadith :

Saidina Umar r.a berkata - sebagaimana yang tersebut dalam kitab al mutha’ :
“sesiapa memelihara sembahyang dan tetap mengerjakannya, bererti ia memelihara agamanya; dan sebaliknya sesiapa yang mensia-siakannya maka ia lebih-lebih lagi akan mensia-siakan kewajipan-kewajipan agama yang lain”
Sebenarnya sembahyang itu tiang agama dan semulia-mulia asas islam yang lima sesudah dua kalimah syahadah

Solat juga membawa maksud doa. Sebagaimana yang dapat disaksikan, bahawa dalam sembahyang terhimpun berbagai-bagai jenis ibadat yang tidak ada pada lainnya. Di antara ibadat-ibadat yang terhimpun dalam sembahyang ialah : bersuci, berdiam diri, menghadap kiblat, membaca doa iftitah, membaca Al-Quran, berdiri, ruku’, sujud, bertasbih dalam ruku’ dan sujud, berdoa dalam sujud, dan lain-lainnya, yang merupakan himpunan ibadat yang berbilang-bilang;kerana zikir sahahja adalah ibadat, dan bacaan Quran sahaja adalah ibadat, demikian juga halnya dengan tasbih, doa, ruku’ dan sujud,; tiap-tiap satunya adalah menjadi ibadat.
Bukan itu sahaja malah dalam solat juga mengandungi bacaan yang mampu membuat kita insaf serta mampu memberikan ketenangan. Solat juga adalah antara pengotaan ikrar yang utama kerana solat adalah perkara yang paling mudah tetapi cukup membawa erti untuk dilakukan. Mengapa dikatakan begitu?

Sunday, January 17

j0m s0lat (part 4)

perbincangan : BERJAYA YANG SEBENARNYA
Selama ini kita sering mengejar kejayaan dalam hidup. Namun tahukah kita apa sebenarnya yang digelar berjaya? Adakah berjaya boleh diberikan kepada mereka yang memiliki kekayaan paling banyak, atau mereka yang terkenal, atau juga mereka yang sentiasa memperoleh sesuatu yang diingini…?
Jika dipandang dari sudut duniawi, di zaman yang serba moden dengan pelbagai kecanggihan dan kemajuan, istilah berjaya boleh diberikan kepada mereka yang mempunyai kehidupan serba hebat, mempunyai kekayaan melimpah ruah, memiliki empayar perniagaan yang berjaya dan mereka yang mampu memiliki segala kelengkapan hidup yang mewah. Ataupun lebih tepat jika dikatakan, mereka yang berjaya adalah mereka yang tidak pernah gagal dalam apa jua yang dilakukan dan semakin bertambah-tambah keuntungan atau faedahnya.
Itu jika untuk mereka yang sudah dewasa, mereka yang sudah mampu untuk hidup berdikari. Bagaimana pula dengan remaja, pelajar atau golongan anak muda yang digelar berjaya…?
Bagi golongan ini pula, label berjaya boleh diberikan kepada anak-anak muda yang mampu mencapai kekayaan atau kesenangan pada usia yang dianggap muda dan lebih berbanding remaja lain. Atau dalam erti kata yang lain, dapat memenuhi keinginan dan segala keperluan yang menjadi idaman remaja-remaja lain.Kejayaan ini mungkin boleh dinilai dari segi kedudukan kewangan, memiliki pekerjaan atau mendapat tempat di institusi pengajian tinggi yang terbaik.
Apabila menyentuh tentang institusi pengajian tinggi, sudah tentulah perkara pertama yang terlintas di fikiran kita adalah kehidupan sebagai seorang pelajar. Bertepatan pula dengan isu yang dibincangkan pada kali ini, iaitu perihal berjaya, bagaimana pula yang dikatakan sebagai pelajar yang berjaya…?
Pelajar yang berjaya boleh diberikan kepada pelajar yang mampu mendapat keputusan yang cemerlang dan mampu menonjol dalam semua perkara, samada akademik mahupun bidang lain. Mereka bukan sahaja mampu menyerlah di tempat sendiri sahaja, malah mereka ini mampu membuktikan kemampuan mereka di mana sahaja. Selain itu, pelajar yang berjaya juga akan dikagumi dan digeruni oleh teman-teman dan saingan mereka. Adakah ini berjaya dalam erti kata yang sebenarnya…?
Apabila menyebut tentang akhirat, kita sebagai umat islam semestinya akan sinonim dengan perkara yang berkaitan dengan keagamaan, kepercayaan atau amalan kita khususnya. Oleh itu bagaimana yang dikatakan berjaya di akhirat…?
Wujudkah kejayaan di akhirat…?

Saturday, January 16

j0m s0lat (part 3)

Dalam satu hadith ada diterangkan bahawa Rasulullah S.A.W melihat seseorang yang tidak menyempurnakan ruku’nya dan mematuk (seperti ayam) semasa ia sujud, lalu baginda bersabda, maksudnya :
“ Kalau orang itu mati dalam keadaannya yang demikian, nescaya ia mati dengan ketiadaan Islam…”

Dalam satu hadith lagi ada diterangkan, maksudnya :
“ Seseorang itu tidak akan beroleh pahala dari sembahyangnya melainkan mana-mana yang dikerjakannya dengan penuh kesedaran. Setengah orang yang mengerjakan sembahyang ada kalanya tidak mendapat seperenam dari pahala sembahyangnya dan tidak juga sepersepuluh”

Yakni ia hanya mendapat pahala bagi bahagian sembahyang yang tertentu yang dikerjakannya dengan penuh kesedaran serta khusyuk. Orang yang penuh sedar dan khusyuk di sepanjang-panjang sembahyangnya maka ia beroleh pahala bagi seluruh sembahyangnya itu, dan sebaliknya orang yang lali disepanjang-panjang sembahyangnya : hampalah dia dari mendapat sebarang pahala mengenainya

Orang mukmin yang menaruh belas kasihan kepada dirinya sendiri dan mencintai agamanya, adalah bertanggungjawab mengambil berat menyuruh dan mengajar ahli rumah dan anak pinaknya supaya mereka tetap memelihara dan mengerjakan sembahhyang. Kewajipan ini ditegaskan oleh Allah Taala didalam Al-Quran Karim dengan firmannya yang bermaksud :
“ Dan perintahkanlah keluargamu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya…”
(Taha,132)
Dan firmannya lagi, maksudnya :
“ Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya : manusia dan batu (berhala)…”
(At-Tahrim, 6)

Nabi S.A.W sendiri, sentiasa mengambil berat mengingatkan dan mengawasi keluarganya mengenai sembahyang. Bahkan baginda dan keluarganya apabila menghadapi apa-apa kesukaran, lazimnya baginda dan keluarganya mengerjakan sembahyang banyak-banyak.
Cara yang demikian ini juga menjadi amalan nabi-nabi yang telah lalu -
عليهم ااصلاة وااسلام
Kerana tidak syak lagi, sembahyang itu menjadi sebab yang membawa rahmat, murah rezeki, dan menolak bala bencana

Monday, January 11

j0m s0lat (part 2)

bismillah...
Menurut penulisan sesetengah ulama’, bahawa sebabnya orang tersebut dihimpunkan bersama-sama empat orang (jaguh kekufuran) itu ialah:
kerana yang melalaikannya dari menunaikan sembahyang tidak lain melainkan hartanya, atau kerajaannya
(jika ia seorang pemegang teraju pemerintahan), atau jawatannya sebagai menteri, ataupun perniagaannya. Kalau hartanya yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Qarun, kalau kerajaannya yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Firaun, kalau pula jawatannya sebagai menteri yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Haman (menteri Firaun)
dan kalau pula perniagaannya yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Abu Bin Khalaf, (saudagar kaum musyrik Mekah)

Dalam satu hadith lagi, bahawa Saidina Umar r.a berkata : seorang lelaki telah datang menghadap Rasullulah S.A.W lalu bertanya, katanya :
“ Ya Rasullullah, apakah satu-satunya amal dalam Islam yang lebih diperkenan oleh Allah Taala?” Baginda menjawab :
“ Ialah sembahyang yang dikerjakan pada waktunya, dan sesiapa yang meninggalkan sembahyang maka tidak ada agama baginya, kerana sembahyang itu tiang agama”


Dalam satu hadith yang lain, baginda bersabda, maksudnya
:
“ Apabila seseorang mengerjakan sembahyang pada awal waktunya, naiklah sembahyang itu kelangit serta ia bercahaya sehingga ia sampai kepada arasy lalu ia meminta ampun bagi orang yang mengerjakannya. (demikianlah hal sembahyang itu) hingga hari kiamat sambil ia berkata : “semoga Allah memeliharamu sebagaimana engkau memelihara ku”, dan apabila seseorang mengerjakan sembahyang pada luar waktunya, naiklah sembahyang itu kelangit dengan diselubungi oleh gelap gelita, setelah sampai di langit lalu digulung seperti tergulungnya baju buruk dan dipukulkan kemuka orang yang mengerjakannya sambil sembahyang itu berkata (kepada tuannya) : “ Semoga Allah mensia-siakanmu sebagaimana engkau mensia-siakan aku”


sessh0

Thursday, January 7

j0m s0lat (part1)

Di dalam Al-Quran Karim telah diberi amaran mengenai orang-orang yang mencuaikan sembahyang. Tentang ini Allah Taala telah berfirman maksudnya:

“ Kemudian mereka (yang taat) digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab dalam neraka – kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh…”
(Maryam, 59-60)
Menurut sebahagian dari ahli tafsir, “mengingati Allah”
(zikrullah) di sini ialah “sembahyang yang lima waktu maka sesiapa yang mencuaikannya kerana dilalaikan oleh harta bendanya, anak pinak dan segala urusan hidupnya, menjadilah ia dari orang-orang yang rugi serugi-ruginya

Di dalam hadith pula ada diterangkan tentang setakat mana beratnya kewajipan sembahyang itu

Di antaranya baginda bersabda maksudnya :
“ jaminan berabik-baik di antara kita dengan mereka yang mendakwa dirinya orang Islam ialah mengerjakan sembahyang, oleh itu sesiapa yang tidak sembahyang maka sesungguhnya termasuklah ia dalam hukum orang kafir”

Dan sabdanya lagi, maksudnya :

“ Perkara yang menghubungkan seseorang dengan kufur ialah meninggalkan sembahyang”


Dan sabdanya lagi, maksudnya :

“ Sesiapa yang cuai sehingga ia terlepas dari mengerjakan sembahyang asar pada waktunya, maka sesungguhnya telah binasalah amalnya”


Dan sabdanya lagi, maksudnya :
“ Sesiapa yang meningglkan sembahyang dengan sahaja, maka sesungguhnya terlepas ia dari jaminan Allah menyelamatkannya”

Dan sabdanya lagi, maksudnya :

“ Sesiapa yang memelihara sembahyang dengan sebaik-baiknya, nescaya sebahyang itu menjadi cahaya baginya, dan menjdai bukti serta penyelamat baginya pada hari kiamat; dan sesiapa yang mencuaikannya, maka semuanya itu tidak akan diperolehinya, dan ia akan dihimpunkan pada hari kiamat bersama-sama dengan Firaun, Qarun, Haman dan Abu Khalaf”


*j0m s0lat :)*

sessh0